Thursday, June 15, 2017

Pokok Mati Ancam Keselamatan Orang Awam, MPK Di Gesa Segera Bertindak !


Sebelum ini saya pernah menegur tindakan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang mahu menjejaki pihak penebang pokok haram berhampiran Terminal Sate Zul di Jalan Teluk Sisek. MPK telah mengedarkan memo meminta orang ramai berkerjasama memberi maklumat sekiranya mengetahui perkara itu.

Namun, bagi saya tindakan yang lebih wajar dilakukan oleh MPK ialah menyegerakan semua aduan berkaitan pokok berbahaya seperti dahan reput, mati atau terlalu besar yang boleh mengancam keselamatan orang awam.

Banyak kejadian dahan-dahan pokok menghempap kenderaan berlaku di sekitar Kuantan termasuk di Jalan Tun Ismail (Depan Pasar), Jalan Mahkota (Pejabat Pos) dan di Teluk Chempedak. Kesemua kes berkenaan berlaku dalam kawasan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK). 

Namun, kesemua mangsa gagal mendapatkan pembelaan yang sewajarnya daripada pihak MPK sendiri. Inilah yang memusykilkan. Malah MPK memberi berbagai alasan untuk mengelakkan daripada dipertanggungjawabkan. Sedangkan tender menebang serta mencantas dahan-dahan pokok dikeluarkan oleh pihak terbabit.

Akhirnya mangsa tidak dapat gantirugi yang setimpal dan terpaksa menggunakan wang sendiri untuk membaiki kenderaan masing-masing. Inilah yang mengecewakan ramai warga Kuantan sebenarnya. MPK hanya bising bila ada pokok hilang, sedangkan tidak bertindak segera bila ada aduan dibuat. Akhirnya rakyat yang marah, terpaksa mengambil tindakan sendiri. 

Jika dilihat kepada situasi di lokasi pokok yang ditebang, jelas dapat dilihat akar-akar pokok terbabit sudah terlalu besar dan merosakkan struktur tanah di situ. MPK seolah-olah tiada unit yang mengkaji tahap bahaya jika pokok terlalu besar dan bila-bila masa boleh tumbang jika akar yang menyokongnya sudah tidak dapat menampung pokok itu lagi.

Terbaru, skuad terjah memantau semula aduan kami tentang pokok mati dan berbahaya di kawasan perindustrian Semambu petang tadi (6 Jun 2017). Isu telah diterjah pada April lalu, namun hingga ke hari ini tiada tindakan yang dilakukan oleh pihak terbabit. 

Ini membuktikan MPK begitu lambat bertindak terhadap aduan yang dikemukakan, namun cepat melatah dalam isu "pokok hilang". Sepatutnya, aduan-aduan yang dibuat diambil perhatian segera, agar ia tidak mengancam keselamatan orang awam.

Justeru, diharap pihak MPK dapat lebih cakna dengan isu-isu rakyat yang dikemukakan oleh orang ramai. Isu pokok mati dan reput di Semambu ini terpaksa kami terjah selepas aduan yang dibuat oleh orang ramai tidak mendatangkan hasil. Namun lebih sebulan diterjah, hasilnya tetap sama "tunggu dan lihat". Jangan sampai ada orang awam yang menjadi mangsa pula atas kelemahan ini. Rakyat perlu diutamakan.

"Cakna Demi Rakyat"

MOHD SHUKRI B MOHD

RAMLI @ JAMALUDDIN
(Blogger Cucumatkilau)
Penyelaras NGO
Angkatan Pembela Rakyat
[  A N G K A R A ]

http://angkaraterjah.blogspot.my/

Read more »

Pengurusan Terminal Sentral Kuantan (TSK) Di Gesa Perbaiki Aspek Keselamatan !


Sebuah lagi kenderaan orang awam menjadi mangsa pengkhianatan di kawasan parkir berbayar di Terminal Sentral Kuantan (TSK).  Saya ke lokasi selepas mendapat aduan yang disebarkan menerusi media sosial. Setibanya ke TSK, beliau mendapati aduan tersebut ada kebenarannya.

Sebuah kenderaan Perodua Bezza berwarna merah, kehilangan dua tayar.. satu depan dan satu belakang. Terdapat batu-bata yang digunakan untuk menampung kenderaan terbabit. Difahamkan, pemiliknya masih berada di luar (out station).

Sudah beberapa kali kejadian jenayah berlaku di kawasan parkir tersebut sebelum ini. Kejadian curi tayar kereta dan motor, curi bateri, pecah cermin, curi beg barang berharga dan sebagainya dilaporkan. Namun, kita hairan pihak TSK masih gagal menyediakan kemudahan dari segi aspek keselamatan terbaik, terutamanya Kamera Litar Tertutup (CCTV) dan Pengawal Keselematan. Ini menyebabkan penjenayah tidak takut untuk melakukan kegiatan jenayah di kawasan tersebut.

Banyak Laporan Polis yang dibuat oleh mangsa gagal diselesaikan kerana masalah CCTV yang tidak berfungsi. Siasatan lanjut sukar dijalankan apabila kamera litat tertutup gagal berfungsi.

Isu ini sudah lama, baynyak kejadian yang berlaku akhirnya mangsa dipersalahkan. Pihak pengurusan TSK dengan bangganya meletakkan papan tanda kononnya mereka tidak bertanggung jawab atas semua kenderaan dan segala kerosakan atau kehilangan adalah tanggungjawab pemilik sendiri... Ini tindakan zalim dan tidak wajar.

Bukankah mereka mengenakan bayaran kepada pemilik kenderaan, jika risiko sendiri sekali pun TSK sepatutnya menyediakan kawalan keselamatan yang terbaik.. sekurang-kurangnya CCTV berfungsi dan ada kawalan keselamatan di kawasan terbabit. Jangan hanya mengambil caj perkhidmatan tetapi 100% salahkan pengguna yang letak kenderaan di lokasi. Ini tindakan berat sebelah yang kami rasa harus diperbetulkan.

Justeru, saya merayu kepada pihak pengurusan TSK agar membaik pulih mutu perkhidmatan terutamanya soal kawalan keselamatan. Berapa banyak lagi harta awam akan dirosakkan oleh penjenayah jika perkara sebegini terus dibiarkan. 

MOHD SHUKRI B MOHD
RAMLI @ JAMALUDDIN
(Blogger Cucumatkilau)
Penyelaras NGO
Angkatan Pembela Rakyat
[  A N G K A R A ]


http://angkaraterjah.blogspot.my/

Read more »

Monday, June 5, 2017

Iftar Di Atas Padang, Sampai Bila Situasi Begini Mahu Terus Di Kekalkan Agaknya


Susulan teguran ikhlas kami di laman facebook berkenaan isu iftar Ramadan, berbuka puasa di padang MPK berhadapan Masjid Negeri Sultan Hj Ahmad Shah I Kuantan semalam, maka ramai netizen yang memberi komen positif dan negatif atas isu berkenaan.

Secara amnya, memang acara ini menjadi satu produk pelancongan yang menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara. Namun dek kerana lokasi padang berkenaan betul-betul berhadapan dengan masjid maka cerita sebaliknya pula timbul.

Isu pakaian yang menjolok mata serta tidak menutup aurat, lelaki berseluar pendek, bertempuk tampar, bergaul bebas serta menunjukkan adengan yang tidak sepatutnya berlaku di bulan Ramadan, depan masjid pula memang sudah kerap kali berlaku.

Saban tahun ia diperkatakan oleh umat Islam, namun senarionya tetap sama. Tidak berubah malah terkadang lebih memualkan sebenarnya.

Namun, isu besar yang menjadi bualan semua pihak ialah tatkala selepas waktu berbuka dan ketika solat jemaah Maghrib diadakan di dalam masjid, namun ramai yang ambil tidak kisah atau pun cakna kewajipan fardu yang lebih utama itu.

Waktu Maghrib singkat, tidak macam waktu-waktu lain. Justeru, selepas jemaah habis solat Maghrib kelihatan masih ramai yang bersantai, melepak dan tidak langsung mengambil berat soal yang lebih utama iaitu Solat Maghrib. 

Mahu dikatakan solat atas padang, tidak mungkin sebab keadaan tidak mengizinkan. Mahu pihak jabatan agama Islam sediakan tapak untuk solat berserta paip air, lagi tidak mungkin kerana lokasi padang hanya 50 meter dari masjid negeri. Akhirnya apa saja yang mahu dilakukan tidak mungkin terjadi dan ramailah yang tidak menganggap Solat Maghrib itu lebih utama untuk dilakukan.

Memang ada segelintir yang meluru ke arah masjid untuk bersolat  (berdasarkan kepada kesesakan di tempat mengambil air sembahyang). Namun, jumlahnya hanya sekitar 20% hingga 30% daripada jumlah mereka yang berada atas padang. Itupun kepada mereka yang datang bersama keluarga masing-masing sebenarnya.

Namun, majoriti anak-anak muda langsung tidak cakna dan menganggap mereka berada di depan masjid, sedangkan mereka sama-sama berbuka puasa dan ternyata adalah "muslim" berdasarkan pandangan mata kasar.

Inilah yang menggusarkan, malah ada yang berada atas padang hingga masuk pula waktu Isyak. Bukankah ia jelas dapat disaksikan dihadapan mata. Soal ada yang mengatakan di rumah pun ada yang tak laksanakan tanggungjawab itu. Di rumah berbeza kerana ia bersifat individu, namun di atas padang dengan "pesta berbuka puasa mega", ia memang kelihatan janggal dan boleh mencemarkan kesucian agama Islam itu sendiri.

Mungkin benar, ada pihak yang mengatakan keadaan ini berlaku kerana tapak Bazar Ramadan Mahkota Square bersebelahan dengan padang terbabit. Ada logik, kerana ia memudahkan orang ramai beli makanan dan kemudian melepak terus atas padang. Namun, sesuatu yang perlu dititikberatkan ialah lokasi di depan masjid itu yang harus diambilkira.

Inilah yang perlu diberi perhatian. Adalah lebih elok hanya tapak expo Aidil Fitri sahaja dikekalkan di lokasi, sebaliknya Bazar Ramadan dipindahkan ke kawasan lain yang lokasinya agak jauh dari kawasan masjid. Lagi pun kesesakan jalanraya di sepanjang Jalan Mahkota dan Jalan Bukit Ubi melalui kawasan tersebut agak kritikal dan menganggu orang lain yang mahu membuat urusan. 

Pihak penganjur perlu melakukan perubahan jika mahu melihat Islam itu dipandang suci dan mulia. Jika tidak, sudah pasti adengan-adengan yang tidak sepatutnya dapat kita lihat saban tahun. Namun, sampai bila situasi ini harus dikekalkan? Adakah hingga kiamat?. Pihak berkuasa agama perlu mengambil perhatian terhadap perkara ini. Jangan hanya mencari jalan di atas kertas semata-mata. 

Benar, ada kuliah yang dibuat sebelum waktu berbuka puasa, namun apa guna ketika kuliah ada anak-anak muda yang tak tutup aurat, bergaul bebas lelaki dan perempuan, bergelak ketawa serta bertepuk tampar sesama mereka. Malah berbagai insiden yang tidak wajar dapat disaksikan jika tidak diberi perhatian sewajarnya terhadap isu ini. Cakna Demi Islam.

MOHD SHUKRI B MOHD
RAMLI @ JAMALUDDIN
(Blogger Cucumatkilau)
Penyelaras NGO
Angkatan Pembela Rakyat
[  A N G K A R A ]


http://angkaraterjah.blogspot.my/


Read more »

Friday, June 2, 2017

Isu "Pokok", Lebih Elok Selesai Aduan Rakyat Dari "Jejaki" Penebang Haram !


Saya tertarik untuk mengulas isu sebatang pokok Sebatang pokok di hadapan Zul Satay Jalan Teluk Sisek yang didakwa telah di tebang secara haram oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Kenyataan tersebut disebarkan oleh Pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) sendiri berdasarkan kepada nombor talian untuk dihubungi 09-5673333 (Jabatan Landskap MPK). Ia telah diviralkan dalam group-group Facebook Kuantan sejak semalam. 

Difahamkan pokok telah ditebang pada tengah malam Isnin, 29 Mei 2017. 

Justeru, sebagai Penyelaras NGO Angkatan Pembela Rakyat (Angkara) yang telah banyak memperjuangkan isu rakyat termasuk juga isu pokok di sekitar bandar Kuantan sejak beberapa tahun kebelakangan ini maka saya berharap MPK bersabar dan fokuskan kepada aduan rakyat terlebih dahulu sebelum menjejaki "penebang haram".

Bagi saya, kedudukan pokok tersebut juga memang sudah tidak strategik dan menganggu penglihatan pengguna jalanraya sebenarnya. Mungkin selepas beberapa kali aduan di buat akhirnya pihak terbabit mengambil keputusan menebang sendiri pokok berkenaan.

MPK seharusnya mengambil tindakan segera terhadap aduan rakyat dalam isu pokok ini. Difahamkan, banyak aduan tentang pokok berbahaya sama ada reput, mati atau terlalu besar telah dilaporkan sebelum ini sebenarnya. Namun, MPK lambat mengambil tindakan atau bersikap "tunggu dan lihat".

Ada dua insiden pokok tumbang dan menghempap kenderaan telah kami terjah. Dalam kes tersebut mangsa sering mengadu MPK mendakwa tidak bertanggungjawab terhadap pokok-pokok tumbang dan tidak bersedia membayar gantirugi kepada mangsa.

Sedangkan, aduan dan tender untuk menebang pokok dibuat oleh pihak terbabit. Tapi bila berlaku musibah, MPK dengan mudah lepas tangan dan menuding jari kepada pihak lain. 

Pendekkata, apa saja isu  berkaitan pokok maka mangsa perlu selesaikan sendiri masalah mereka. Ini semua berpunca daripada aduan demi aduan tetapi MPK tidak bertindak segera, hingga pokok tumbang atau dahan jatuh menghempap kenderaan dibawahnya.

Justeru, kami mengesyorkan MPK tidak perlu bersusah payah untuk menjejaki siapa yang menebang pokok di hadapan Satay Zul itu. Lebih baik MPK siasat balik berapa banyak aduan tentang masalah pokok dilaporkan, tetapi mereka masih tidak bertindak sehingga ke hari ini. Itu lebih baik dari merayu orang ramai memberi maklumat pihak yang didakwa tebang pokok secara haram itu sebenarnya.

"Cakna Demi Rakyat"

MOHD SHUKRI B MOHD
RAMLI @ JAMALUDDIN
(Blogger Cucumatkilau)
Penyelaras NGO
Angkatan Pembela Rakyat
[  A N G K A R A ]

http://angkaraterjah.blogspot.my/

Read more »

Wednesday, May 3, 2017

'Peraturan' Benar Bawa Bayi Dan Ibu Mengandung Masuk Stadium Perlu Di Kaji Semula !


KUANTAN: Pengurusan Stadium Darul Makmur digesa mengkaji semula kebenaran membawa kepada ibu mengandung dan bayi yang baru lahir masuk ke stadium pada masa-masa akan datang. Ia bagi menggelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Demikian ditegaskan oleh Penyelaras NGO Angkatan Pembela Rakyat (Angkara), Mohd Shukri Mohd Ramli (foto)  kepada PDO pagi ini. Beliau berkata, tindakan para penyokong membawa masuk ibu mengandung dan bayi yang baru lahir ketika perlawanan separuh akhir pertama Piala FA antara Pahang dengan Negeri Sembilan baru-baru ini amatlah mengejutkan ramai pihak.


Malah katanya, dengan kapasiti penonton yang melimpah ruah, penuh dan padat maka tindakan tersebut boleh membahayakan keselamatan mereka. 


"Bayangkan jika ada kejadian yang tidak dingini seperti rusuhan, hujan lebat dan sebagainya. Bukankah ibu mengandung dan bayi yang masih kecil itu akan menjadi mangsa. Memang ramai ibubapa yang bertindak demikian baru-baru ini. Malah, lebih sedih lagi ada sebahagian daripada mereka terpaksa berdiri kerana ketiadaan tempak duduk", kata Shukri.

Beliau yang turut berada dalam stadium ketika perlawana tersebut berkata, tindakan itu wajar dibendong walau pun mereka terlalu minat untuk menonton perlawanan bolasepak.

"Umum mengetahui, ada kalanya akan berlaku kekecohan dalam stadium seperti tolak menolak, baling membaling, membakar suar dan sebagainya. Maka itu, sudah pasti bayi yang baru lahir dan ibu mengandung akan menjadi mangsa. Malah saya lihat depan mata ada yang baru lahir sekitar dua atau tiga bulan, siap ibubapa membawa kereta sorong masuk ke dalam stadium. Menonton bola bukanlah untuk bersantai di tepi pantai atau taman-taman rekreasi sebenarnya", tambah Shukri lagi.


Difahamkan, akibat tindakan membawa terlalu ramai kanak-kanak bawah umur telah menyebabkan ramai penyokong Pahang yang tidak dapat tempat duduk. "Mereka terpaksa berdiri, malah ada yang duduk di tepi longkang.. saya pun merasa duduk tepi longkang.. ini kerana tempat duduk yang sepatutnya cukup, telah dipenuhi dengan kanak-kanak bawah umur", katanya lagi.


Justeru, beliau berharap agar pihak stadium dapat memantau perkara ini bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku pada masa akan datang. Peraturan sedia ada perlulah di kaji agar ia tidak memudaratkan para penonton. Mungkin tindakan membawa bayi dan ibu mengandung baru-baru ini gara-gara perlawanan jatuh pada malam cuti umum hari pekerja keesokannya. Jika tidak pasti situasi ini tidak berlaku. #pahangdaily

Read more »

Saturday, April 29, 2017

NGO Angkara Gesa Jalan 'Susur Keluar' Flyover Bukit Ubi Segera Di Perbetulkan


KUANTAN: "Laluan susur keluar flyover Bukit Ubi mengundang bahaya dan ancam keselamatan orang awam", kata Penyelaras NGO, Angkatan Pembela Rakyat (Angkara), Mohd Shukri Mohd Ramli (foto) kepada PDO pagi ini.

Menurut beliau, aduan diterima daripada orang awam yang menggunakan laluan itu seetiap hari. Susulan itu, beliau bersama skuad terjah telah ke lokasi untuk melihat sendiri situasi yang berlaku. 

"Ternyata, ia wajar diperbetulkan. Saya melihat dengan jelas situasi bahaya yang boleh mengundang kemalangan pada bila-bila masa. Susur keluar itu adalah laluan utama orang ramai dari arah Jalan Haji Junid dan Jalan Lim Hoe Lek (Stadium Darul Makmur) ke Indera Mahkota). Selepas lampu isyarat mereka wajib melalui laluan susur itu untuk ke jalan utama dari arah Jalan Bukit Ubi (bandar)."


"Amat mengejutkan, susur keluar itu terlalu pendek dan jaraknya begitu bahaya dengan kenderaan yang datang dari arah flyover. Sewajarnya susur keluar itu diperbesar dan dipanjangkan, agar memberi keselesaan kepada orang ramai", katanya.


Difahamkan, lalaun itu juga sesak teruk apabila kenderaan dari laluan susur keluar itu perlu mengambil masa yang lama untuk masuk ke laluan utama. Tambahan pula, hanya terdapat dua lorong sahaja dari arah flyover. Bayangkan jika ada pemandu yang membawa kenderaan dengan laju, maka sudah pasti mereka yang mahu masuk ke laluan itu berhadapan dengan masalah. Akibatnya sesak teruk di kawasan itu.

"Pembinaan flyover Bukit Ubi yang menelan belanja jutaan ringgit itu, sepatutnya siap lebih awal berdasarkan jadual. Namun, warga Kuantan tetap berbangga atas kewujudannya. Namun, ia sepatutnya mengurangkan kesesakan jalanraya anehnya masalah lain pula yang melanda. Malahan kesesakan bertambah kritikal terutamanya pada waktu puncak", tambah Shukri lagi, sambil berharap ia diperbetulkan segera.

Katanya, NGO Angkara juga menerima beberapa aduan lain termasuk keadaan jalan di atas flyover yang beralun-alun dan menimbulkan situasi yang tidak selesa kepada ramai pengguna. "Apapun, kita berterima kasih atas pembinaan flyover pertama dalam bandar Kuantan yang menjadi mercu tanda ke bandar ini sekarang. Kelemahan yang berlaku wajar diberi perhatian kerana ia menjurus ke arah kebaikan untuk semua pihak", tambah beliau.


\
Sementara itu, difahamkan video yang dimuat turun dalam laman facebook beliau cmkterjah telah ditonton melebihi 11,000 kali oleh orang ramai dalam tempoh tak sampai 24 jam sejak ia dipaparkan. Berbagai komen yang dibuat, ada yang menyokong dan ada juga yang membantah. 




Semoga dengan teguran yangd ibuat oleh NGO ini dapat diberi perhatian yang sewajarnya oleh pihak yang bertanggungjawab. Kita tidak mahu berlaku kejadian yang tidak diingini barulah semua pihak mahu bertindak dan menyalahkan pihak-pihak tertentu. Justeru, sebelum apa-apa terjadi, perbetulkanlah demi keselamatan pengguna jalan raya yang sedang dan akan melalui laluan ini nanti.  #pahangdaily

Read more »

Monday, April 3, 2017

Anina Di Nasihatkan Cermin Diri Dulu Sebelum Berhasrat Lawan Najib Di Pekan


Saya nasihatkan bekas Srikandi  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin supaya cermin diri dulu sebelum beriya-iya mahu tawarkan diri untuk lawan Perdana Menteri, Dato Sri' Najib Tun Razak di Parlimen Pekan pada PRU-14 ini. 

Saya harap Anina fikir balik tentang hasrat beliau itu. Ini kerana beliau  hanya ahli biasa semasa dalam UMNO. Maka tidak masuk dek akal tiba-tiba dia mahu lawan Presiden bekas partinya dulu. Jika dia bekas seroang pemimpin tertinggi UMNO mungkin ada munasabah juga. 

Saya nampak Anina hanya mahu mencari publisiti murahan untuk mencabar Najib di kerusi tradisinya  itu. Kekuatan Najib di Pekan sukar ditandingi oleh sesiapa pun kerana nama beliau sudah sinonim dengan pengundi di sini. Malah, beliau juga adalah anak kepada bekas Perdana Menteri yang merupakan Ahli Parlimen Pekan terdahulu, iaitu Allahyarham Tun Razak.

Anina boleh cuba bertanding dulu di kerusi Parlimen Langkawi, tempat asal beliau. Jika dia menang di situ, barulah berubah angin pada pilihan raya berikutnya untuk melawan Najib di Pekan. Namun jika kalah dan hilang deposit, maka tak guna berkokok untuk menentang Perdana Menteri di kawasan kubu kuat beliau. Ia pasti akan memalukan Anina sendiri sebenarnya. 

Dia sendiri telah dilucutkan jawatan Ketua Srikandi dari parti barunya (PPBM). Mana mungkin dia boleh menang di Pekan, sedangkan pemimpin sendiri tidak suka kepada beliau yang kononnya terlibat dengan skandal seks. Justeru, elok Anina muahasabah diri dan kenal pasti potensi diri terlebih dahulu daripada berangan-angan menentang Najib. 


Ini bukan kisah lagenda Mahsuri, ini kenyataan yang wajar diberi perhatian. Jangan buang masa, kumpul kekuatan dulu dalam parti barulah tanam impian dan cita-cita

Difahamkan, Bekas Senator dan Pengarah Komunikasi di Kementerian Kewangan Datuk Ezam Mohd Nor. turut menyuarakan hasrat bertanding di kerusi Parlimen Pekan pada PRU-14 ini nanti.  Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, Najib menewaskan calon PKR, Mohd Fariz Musa dengan majoriti 35,613 undi.


Mohd Shukri B Mohd 
Ramli @ Jamaluddin
(Blogger Cucumatkilau)

Penyelaras NGO
Angkatan Pembela Rakyat
[ A N G K A R A ]

Read more »

Thursday, March 30, 2017

Video Rafizi 'Serang' Dr Mahathir, 'Walau Pun Lama' Tapi Masih Lagi Relevan !


KUANTAN: Pakatan Harapan (PH) terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini menerima tanparan hebat menjelang Pilihanraya Umum Ke-14 akan datang apabila video pendedahan panas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli tentang kekayaan anak-anak bekas Perdana Menteri 22 tahun,   Tun Dr Mahathir kini tular di media sosial. 

Malah video tersebut juga telah disiarkan dalam Buletin Utama TV3 baru-baru ini. Walau pun ceramah Rafizi itu berlaku beberapa tahun yang lalu, namun dek kerana ia ditujukan kepada Tun Dr Mahathir yang kini merupakan salah seorang pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH), maka ia pasti akan mengelirukan rakyat sebenarnya.

Demikian ditegaskan oleh bekas blogger PKR, Mohd Shukri Mohd Ramli (Blogger Cucumatkilau) kepada PDO. Menurut beliau ramai yang mempersoalkan, kenapa PKR tiba-tiba boleh bersekongkol dengan Mahathir sekarang ini. Walhal, umum mengetahui Mahathir adalah individu yang bertanggung jawab mengumbankan Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke penjara pada 1998.

"Sebaran video Rafizi, walau pun dikatakan sengaja mencari isu oleh penyokong pembangkang namun bagi majoriti rakyat ia masih relevan dan wajar diberi perhatian. Pendedahan yang dibuat oleh Rafizi itu pasti tidak menyenangkan pemimpin Pakatan Harapan (PH), terutamanya Menteri Besar Selangor, Azmin Ali sendiri", katanya.



Shukri yang pernah menjadi calon PKR bagi kerusi DUN Kemayan pada PRU12 lalu turut mendakwa, sudah pasti dengan tersebarnya video ini akan memalukan Pakatan Harapan (PH).  Ketika mereka mahu membentuk gabungan yang mantap bagi menghadapi pilihanraya, tiba-tiba salah seorang pemimpin PKR pernah mendedahkan kekayaaan anak-anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

"Bagi saya jika apa yang didedahkan oleh Rafizi itu adalah fitnah semata-mata, maka Tun Dr Mahathir wajar menyaman pemimpin PKR itu. Ini kerana ia jelas memalukan keluarganya. Beranikah Tun Mahathir bertindak sedemikian?. Usah dipersoalkan kenapa media memainkan isu ini. Soalnya, benarkah ia diperkatakan oleh Rafizi atau sebaliknya. Soal baru atau lama itu hal lain, soalnya benarkah kekayaan anak-anak Tun Mahathir sedemikian rupa", katanya. 



"Ia bukanlah fitnah tetapi kenyataan, dan hanya rakyat yang bijak menilai sahaja pasti akan melihat ia tidak bagus untuk masa depan negara ini. Mahathir menuduh Najib membolot harta kekayaan negara ini, namun dalam masa yang sama rahsia kekayaan anak-anaknya pula terdedah. Sesuatu yang amat mengecewakan penyokong PH sebenarnya. Rakyat harus bijak membuat penilaian demi masa depan mereka", tambah beliau lagi.

Shukri turut menegaskan  sentiman simpati dan kasihan tidak wajar dicampur adukkan dengan politik. Mereka harus lebih simpati kepada Anwar yang kini masih berada dalam penjara daripada susuk tubuh orang yang pernah menganiaya beliau suatu ketika dulu. Tiba-tiba orang itu dianggap sebagai "hero" dan "pejuang rakyat" pula. Bukankah itu sesuatu yang amat pelik sebenarnya. #pdonews

Read more »

Thursday, March 23, 2017

Isu Terjah NGO Angkara, Tersiar Dalam Slot "Titik Sentuhan" TV1 Malam Tadi !


KUANTAN: Isu terjah jalan rosak di By Pass Bukit Sekilau ke Indera Mahkota dekat sini telah disiarkan dalam rancangan "Titik Sentuhan TV1" jam 7.30 malam tadi dan ulangannya jam 12.30 tengah malam dan 4.30 pagi esok. Demikian dilaporkan oleh NGO Angkatan Pembela Rakyat (Angkara) menerusi posting terbaru mereka. 


Difahamkan isu tersebut telah diterjah pada 22 Februari yang lalu, dan ia mendapat perhatian daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuantan. Satu kenyataan balas dan jawapan terhadap isu itu telah dibuat di ruangan komen page rasmi Angkatan Pembela Rakyat (Angkara) pada 28 Februari.


Menurut Penyelaras Angkara, Mohd Shukri Mohd Ramli beliau telah dihubungi oleh krew penerbitan rancangan "Titik Sentuhan TV1" pada 10 Mac 2017. 


"Mereka berminat dengan isu tersebut dan mahu membuat rakaman. Saya kemudian telah membawa mereka ke lokasi untuk tujuan tersebut... Alhamdulillah dalam tempoh tak sampai dua minggu ia disiarkan oleh RTM malam tadi. Ini sesuatu yang baik dan saya ucapkan terima kasih atas sokongan RTM dan rakyat secara keseuluruhannya terhadap NGO Angkara. Sokongan semua amat dihargai dan menyemarakkan lagi api perjuangan untuk membela rakyat tanpa membezakan fahaman politik kepartian masing-masing", jelas Shukri.


Difahamkan pihak JKR Daerah Kuantan telah membaik pulih jalan tersebut pada hari yang sama rakaman TV1 dibuat. Tinjaun ke lokasi oleh krew 


Skuad Terjah juga mendapati kerja-kerja berkenaan selesai pada hari tersebut juga. Ini membuktikan, isu rakyat yang diperjuangkan oleh NGO Angkara mendapat perhatian daripada pihak terbabit. Ia satu pertanda baik, bahawa suara rakyat mula didengari. Orang ramai boleh layari laman blog eksklusif Angkara di www.angkaraterjah.blogspot.my unuk melihat lain-lain isu terjah NGO terbabit. #pdonews

Read more »

Friday, March 17, 2017

Setiausaha Kerajaan Negeri Di Gesa Siasat Aktiviti "Bolot Tanah" Di Pahang !


Setiausaha Kerajaan  Negeri Pahang,  Dato Sri Muhammad Safian Bin Ismail di gesa menyiasat dakwaan ada kakitangan awam di negeri ini yang membolot tanah untuk diri sendiri dengan sewenang-wenangnya. 

Kegiatan tersebut sudah berlaku sejak sekian lama, dan ia bertambah serius mutakhir ini. Bahkan ada laporan kegiatan tersebut gagal dikesan kerana mereka menggunakan nama proksi untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Bayangkan ada kakitangan kerajaan yang mempunyai berpuluh-puluh ekar tanah tanpa perlu dimasukkan dalam pengisytiharan harta. Kegiatan mereka menjadi mudah kerana ada dalang yang mengambil kesempatan atas perkara ini.

Tanah-tanah kerajaan, walau pun sudah ada permohonan terdahulu...dilapis oleh mereka. Pemohon asal diminta menunggu dan terus menunggu, sebaliknya tanah tersebut sudah dikeluarkan geran atas nama proksi-proksi mereka. Pihak ini licik, namun kegiatan mereka berjaya dihidu apabila masing-masing hidup mewah dengan kekayaan luar biasa.

Orang dalam yang berkuasa terhadap tanah-tanah disyaki menjadi dalang aktiviti ini, dengan syarat bahagian mereka ada sama. Rakyat yang memohon ada yang sudah meninggal dunia, tetapi fail tidak diangkat, sebaliknya fail atas nama lain diluluskan atas lot yang sama.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang berwibawa kerana kontraknya sering dilanjutkan sejak beberapa tahun lalu, Dato Sri Muhammad Safian  diharap dapat menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap isu ini. 

Nama Kerajaan Negeri Pahang jadi tercemar, gara-gara tindakan beberapa kerat kakitangan mereka yang khianat kepada tanggungjawab. Perkara ini sudah berlaku sejak sekian lama terutama melibatkan jabatan-jabatan yang berurusan dengan hal ehwal tanah di seluruh negeri ini sebenarnya.

Blogger Cucumatkilau AKA
MOHD SHUKRI B MOHD
RAMLI @ JAMALUDDIN
Penyelaras NGO
Angkaran Pembela Rakyat
[ A N G K A R A ]


www.angkaraterjah.blogspot.my

Read more »

Thursday, March 16, 2017

Kerajaan Negeri Pahang Di Gesa Siasat, Pegawai Guna "Nama Proksi" Untuk Bolot Tanah !


Kerajaan Negeri Pahang, digesa memantau pemilikan hartanah "luar biasa" di kalangan kakitangannya. Ini kerana banyak aduan diterima daripada rakyat, kakitangan tertentu menggunakan kuasa mereka untuk membolot berekar-ekar tanah di seluruh negeri ini.

Senario ini sudah berlaku sejak sekian lama terutamanya melibatkan jabatan yang berkaitan dengan urusan tanah.

Mereka gunakan kuasa dan membolot tanah-tanah dengan kerjasama pihak-pihak tertentu di jabatan terbabit. Mereka bijak dan licik, menggunakan nama proksi agar aduan tidak boleh dibuat kerana bukan atas nama sendiri.

Rakyat memohon tanah bertahun-tahun, sampai ada yang meninggal dunia tapi akhirnya mereka yang dapat tanah yang dipohon dengan cara melapis pelan permohonan terbabit. Saya simpati dengan nasib rakyat Pahang, terutamanya yang dah berpuluh tahun mendiami sesuatu tanah itu. Mohon geran, tidak dilayan.. tiba-tiba dapat kat orang lain dengan kerjasama orang dalam.

Isu ini berlaku di seluruh negeri terutamanya jabatan yang berkaitan dengan hal ehwal tanah. 

Mereka juga tipu isytihar harta, kerana pemilikan hartanah terbabit menggunakan nama proksi dan saudara mara. Walhal milik mereka. Keuntungan dikaut dengan menjualkannya kepada pihak ketiga. Inilah yang terjadi, hingga pegawai rendah boleh mempunyai puluhan ekar tanah. Sedangkan rakyat marhaen memohon geran tanah untuk tapak rumah yang mereka diami pun tak dapat.

Perkara ini perlu disiasat dan mereka yang terlibat di bawa ke muka pengadilan kerana khianat terhadap amanah dan tanggungjawab hakiki. Katanya lagi, kerajaan boleh menyiasat melalui kakitangan di jabatan terbabit sendiri sebenarnya. 

Banyak maklumat akan diperolehi, jika kerajaan serius untuk memnangani isu ini. Kita tidak mahu nama baik kerajaan rosak gara-gara pegawai yang tidak jujur. Demi kemewahan mereka tergamak membolot tanah-tanah untuk diri sendiri.


Blogger Cucumatkilau AKA
MOHD SHUKRI B MOHD
RAMLI @ JAMALUDDIN
Penyelaras NGO
Angkaran Pembela Rakyat
[ A N G K A R A ]

www.angkaraterjah.blogspot.my

Read more »

Sunday, March 5, 2017

Jumlah 4.1 Juta Rakyat Yang Layak Tapi Belum Daftar Pengundi, Di Mana Kreadibiliti SPR?


Laporan berkenaan seramai 4.1 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi tapi masih belum berdaftar sebagai pengundi setakat Februari lalu sungguh mengejutkan.  Kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Hashim Abdullah itu seolah-olah membuktikan kelemahan yang jelas terhadap badan itu sebenarnya. "4.1 Juta Rakyat Malaysia Layak Mengundi Belum Berdaftar"

Adalah tidak masuk dek akal jumlah sebanyak itu dimaklumkan oleh SPR sendiri. Sedangkan badan terbabit yang sepatutnya mencari jalan mempermudahkan urusan pendaftaran agar rakyat Malaysia yang sudah mencapai 21 tahun dapat menunaikan tanggungjawab mereka.

Apa yang dinyatakan seolah-olah usaha SPR semakin terkebelakang. Saya gusar melihat senario ini. SPR wajar mengkaji kaedah terkini bagaimana mereka boleh mempermudah dan melancarkan urusan pendaftaran... Bukan sekadara memberi statistik, setiap tahun semakin ramai tidak mendaftar.. Ini merugikan masa depan negara sebenarnya.

Saya hairan kerana ketika negara belum membangun dan keadaan politik tidak sehebat hari ini, berbagai iklan agar rakyat mendaftar sebagai pengundi dipaparkan di akhbar dan media elektronik. Namun anehnya, hari ini ia tidak berlaku?.  kenapa SPR tidak berbelanja besar untuk mempromosikan kewajipan rakyat Malaysia yang mencapai usia 21 tahun untuk mendaftar sebagai pengundi macam dulu-dulu.

SPR sendiri sewajarnya perlu lebih kerap turun padang untuk membolehkan rakyat mendaftar sebagai pengundi. Bukan sekadar menunggu di lokasi tertentu semata-mata. SPR perlu memberi perkhidmatan kepada rakyat, bukan menyediakan perkhidmatan dan membiarkan rakyat tercari-cari mereka. Zaman sudah berubah. Apakah SPR tiada KPI?.

Sepatutnya SPR mencari jalan untuk mengurangkan statistik rakyat yang tidak daftar sebagai pengundi. Apakah SPR takut, senario terkini ramai generasi muda yang mendaftar mahu lakukan perubahan politik?. Bahkan, majoriti yang mendaftar pula adalah kaum tertentu yang dilihat lebih cenderung menyokong parti pembangkang?. 

SPR perlu menjadi badan bebas yang seronok meramaikan pengundi untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing setiap kali pilihanraya. Amehnya hari ini, SPR seolah-olah tidak merasa apa-apa dengan statistik semakin ramai yang masih belum mendaftar sebagai pengundi. 

Jika ini keadaannya, kenapa SPR tidak menyambung status ARO dan menyekat proses pendaftaran ARO dari NGO dan parti politik pada hujung 2013, menyebabkan jumlah pengundi baru turun mendadak untuk suku pertama tahun berikutnya?. 

Inilah yang memusykilkan, apakah agenda SPR sebenarnya?. Mahu meramaikan pengundi atau sekadar cukup dengan jumlah sedia ada?.. Apakah dengan memaklumkan seramai 4.1 juta yang layak belum mendaftar bermakna SPR mencapai tahap terbaik dalam perkhidmatan mereka?. 

Rakyat sebenarnya mahu melihat SPR berada dalam situasi terbaik menjelang Pilihanraya Umum Ke-14 ini. SPR diharap menjadi badan bebas yang lebih profesional dalam melaksanakan pilihanraya. Namun jika jumlah 4.1 juta yang layak belum berjaya didaftarkan maka apakah PRU14 ini boleh dianggap yang terbaik bagi SPR. Akhirnya pasti situasi yang sama juga akan berlaku. Jangan biarkan rakyat Malaysia terus mempersoalkan kreadibiliti SPR selepas ini hendaknya. Lakukan yang terbaik demi rakyat.

MOHD SHUKRI B MOHD
RAMLI @ JAMALUDDIN
Penyelaras NGO
Angkatan Pembela Rakyat
[ A N G K A R A ]


www.angkaraterjah.blogspot.my

Read more »

Wednesday, March 1, 2017

Majikan, Pemimpin Wajar Contohi Sikap "Prihatin", Pemangku Raja Pahang - Blogger Cucumatkilau


KUANTAN: "Para majikan dan pemimpin di negeri ini, perlulah mencontohi sikap prihatin yang ditunjukkan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah yang begitu mengambil berat hal ehwal kakitangannya,,, hinggakan dalam keadaan bertongkat pun baginda sanggup luangkan masa untuk menziarahi anak kepada anak buahnya yang menerima rawatan baru-baru ini", kata Penyelaras NGO Angkatan Pembela Rakyat (Angkara), Mohd Shukri Mohd Ramli (foto).


Beliau yang juga dikenali sebagai Blogger Cucumatkilau (CMK) berkata demikian, susulan banyak terdengar rungutan daripada sesetengah pihak bahawa ada majikan dan pemimpin yang bersikap sombong dan memandah rendah terhadap anak-anak buahnya. 


"Jangan harap nak menziarahi anak buat jika di hospital, nak bertanya khabar pun susah. Kebajikan apatah lagi. Faktor ini telah mendorong syarikat yang selama ini gah akhirnya merudum apabila satu persatu kakitangan mereka meletakkan jawatan. Sikap sombong dan tidak menghormati kakitangan yang dilayan umpama kuli inilah akhirnya menjahanamkan masa depan syarikat itu sendiri sebenarnya", jelas Shukri lagi merujuk kepada aduan sebuah syarikat yang diterima baru-baru ini.



"Saya sendiri berada di Kuantan Medical Centre (KMC) atas urusan untuk menziarahi anak sahabat saya, Abdul Rahim Othman yang menjalani rawatan penyakit barahnya di situ. Tiba-tiba saya dimaklumkan oleh sahabat saya bahawa Pemangku Raja Pahang nak datang menziarahi anaknya. Saya macam tak percaya, sebab katanya sehari sebelum itu Tengku Puan Pahang, sudah pun datang .. mana mungkin suaminya Tengku Abdullah pula akan datang.. biasanya, mana-mana majikan jika sudah diwakilkan kepada pegawai-pegawai mereka maka majikan tidak akan hadir. Berbeza dengan keluarga diraja Pahang ini, kedua-duanya menghadirkan diri untuk menziarah. Ini satu penghormatan yang cukup hebat kepada sahabat saya itu sebenarnya", kata Shukri.


Shukri turut berkata, beliau bertambah terkejut apabila Pemangku Raja Pahang itu kelihatan menggunakan tongkat. "Ini bermakna, kesihatan baginda pun tidak mengizinkan ketika itu.. Inilah kelebihan keluarga diraja Pahang yang cukup prihatin dan mengambil tanggungjawab yang cukup luar biasa untuk kakitangan baginda. Adengan sebeginilah yang wajar dicontohi oleh para majikan di Pahang ini khasnya, dan di Malaysia amnya. Jika keluarga diraja pun boleh bertindak sebegini, apatah lagi orang biasa. Usahlah seronok dengan jawatan sebagai majikan atau pun pemimpin yang langsung tidak mahu merendah diri kepada anak-anak buah. Lakukanlah perubahan agar suasana yang lebih aman dan harmoni dapat terjalin antara semua pihak, sekali gus boleh meningkatkan produktiviti", tambah Shukri lagi.

Beliau turut berkesempatan mengiringi Pemangku Raja Pahang itu hinggalah meninggalkan pusat rawatan terbabit baru-baru ini. Bertuah sungguh rakyat Pahang kerana mempunyai keluarga diraja yang benar-benar berjiwa rakyat seperti ini. Semoga negeri Pahang Darul Makmur akan terus aman dan sejahtera di bawah naungan baginda. Daulat Tuanku. #sumber

Read more »

Saturday, February 25, 2017

PRU-14: Kerusi DUN Semambu Perlu "Di Kembalikan" Kepada Suara Majoriti !


Kedua-dua   parti politik baik Barisan Nasional (BN) mahu pun pembangkang wajar meletakkan calon Melayu di Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu pada Pilihanraya Umum Ke-14 nanti. Ini kerana  majoriti pengundi Melayu kini melebihi 60% berdasarkan kepada statistik terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada masa ini. 

Pembangkang boleh meletakkan calon Melayu daripada PKR atau pun PPBM, manakala BN pula boleh memilih calon dari parti UMNO untuk bertanding di kerusi ini.

Saya hairan, sejak wujudnya kerusi DUN Indera Mahkota hingga bertukar menjadi DUN Semambu wakil rakyat kawasan ini tetap dari kaum manoriti. Walhal, pengundi Melayu melebihi dua kali ganda statitistiknya.

Pembangkang pernah meletakkan calon Melayu dalam dua pilihanraya umum sebelum ini iaitu Razali Alias dan Zukri Akshah dari PKR. Namun, kedua-duanya kalah kepada calon BN dari MCA iaitu Ti Lian Ker dan Pang Tsu Ming. Pada PRU-12, pembangkang mula meletakkan calon bukan Melayu iaitu Nancy Kong untuk berhadapan dengan Pang Tsu Ming.


Pang Tsu Ming Dan Ti Lian Ker dari MCA wakil BN
Razali Alias Dan Zukri Akshah dari PKR wakil PR

PRU13, sekali lagi calon bukan Melayu iaitu Lee Chean Chung diletakkan di situ. Beliau  menang dan menjadi wakil rakyat hingga ke hari ini. Ketika itu peratusan pengundi Melayu hanyalah 56.8% berbanding kaum Cina 33.20%. Saya gagal kerana tidak mewakili mana-mana parti ketika itu sebenarnya. Rakyat tidak yakin dengan calon bebas", kata Shukri.

Nancy Kong, calon pembangkang (PKR) pada PRU12

Amatlah tidak wajar, di kerusi yang majoriti kaum tersebut tetapi calonnya tidak dipilih di kalangan mereka. Sedangkan dalam perbincangan sama-sama parti jelas menyatakan mana-mana kerusi yang majoriti pengundi dari  kaum tertentu akan ditandingi oleh wakil kaum terbabit. 



Saya mendapat banyak aduan daripada rakyat di kawasan ini yang mahukan wakil rakyat dari kalangan Melayu. Ini bagi memudahkan wakil rakyat bersama dalam program dan sebarang aktiviti keagamaan.  Menurut Shukri lagi, dalam hal ini ia bukan bersifat perkauman atau rasis. Namun, ia lebih kepada memberikan hak kepada yang sepatutnya.

Amalan ini berlaku di mana-mana sebenarnya.  Saya tidak hairan jika majoriti tersebut hanya sedikit, namun di DUN Semambu ia mencecah sekali ganda. Sebab itu saya tawarkan diri bertanding seagai calon bebas di sini pada PRU-13 lalu.  Namun saya tewas kerana semangat kepartian itu mengatasi segalanya. 

Keputusan Pilihan Raya Umum DUN Indera Mahkota PRU10 (1999)

Apapun, selepas pilihanraya barulah masing-masing merungut dan terfikir betapa sukarnya bersama wakil rakyat dalam program agama di surau atau pun masjid-masjid. Maknanya, wakil rakyat sekadar pada namanya sahaja, sedangkan mereka tidak dapat bersama-sama rakyat itu sendiri.

Keputusan Pilihan Raya Umum DUN Indera Mahkota PRU11 (2004)

Perkara ini sekadar pandangan saya semata-mata dan dia terpulang kepada parti-parti yang bertanding. Situasi akan berbeza sekiranya pakatan pembangkang baharu Pakatan Sejahtera, dari PAS dan IKATAN meletakkan calon mereka pada PRU-14 ini nanti. Sudah pasti mereka akan meletakkan calon Melayu. 

Keputusan Pilihan Raya Umum DUN Semambu PRU12 (2008)

Lebih menarik lagi, jika BN meletakkan calon dari UMNO pula kali ini selepas MCA tewas pada PRU-13 lalu. Pengorbanan besar perlu dibuat demi mempertahankan suara majoriti di kawasan DUN ini. Tiba masanya semua pihak perlu bertolak ansur jika BN mahu merampas semula kerusi terbabit daripada PKR. 

Keputusan Pilihan Raya Umum DUN Semambu PRU13 (2013)

Jika ini berlaku, harapan untuk Pakatan Sejahtera menang adalah cerah berdasarkan kepada sokongan akar umbi pengundi atas pagar itu sendiri. Sudah tiba masanya perubahan perlu dilakukan demi kepentingan majoriti pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu pada masa akan datang. #CMK

Read more »